DURIAN TUNGGAL, 26 Oktober – Sesi Townhall EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana telah menjadi tumpuan dalam program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal.
Sesi berimpak tinggi ini diketuai oleh YB Datuk Rais bin Yasin, EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, yang mengetengahkan isu-isu utama berkaitan pembangunan komuniti, tadbir urus tempatan serta kesiapsiagaan menghadapi bencana di peringkat negeri.
Turut hadir YB Datuk Zahari bin Abd Khalil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal merangkap Timbalan EXCO Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri Melaka; YBhg. Datuk Sapiah binti Haron, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ); YBhg. Datuk TPr. Saifuddin bin Abdul Karim, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG); dan YBhg. Datuk Sabrina binti Thalas, Pegawai Daerah Alor Gajah. Turut hadir wakil jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan di bawah portfolio EXCO.
Dalam sesi tersebut, PLANMalaysia Melaka turut mengambil bahagian dengan menyampaikan perkongsian mengenai Pelan Pembangunan Durian Tunggal. Pembentangan disampaikan oleh Encik Mohd Syukri bin Yahya, Timbalan Pengarah (Pembangunan) PLANMalaysia Melaka, yang menjelaskan hala tuju pembangunan strategik, perancangan guna tanah serta inisiatif ke arah pembangunan yang mampan dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
Program ini menjadi platform penting bagi pemimpin masyarakat, agensi pelaksana dan wakil rakyat untuk bersama-sama membincangkan potensi serta cabaran pembangunan setempat, dengan matlamat memperkukuh kesejahteraan rakyat dan mempertingkatkan kualiti hidup komuniti di DUN Durian Tunggal.